Powered By Blogger

Friday, February 4, 2011

AYUH TINGKATKAN PEMBACAAN...




Ulama dan budaya membaca

Oleh dr. zulkifli mohamad albakri,ahli majlis fatwa Negeri Sembilan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam Atas Kekasihku yang tercinta Nabi S.A.W dan menjadi contoh perjalanan dakwah sepanjang zaman.

Budaya membaca perlu dipupuk sejak kanak-kanak lagi kerana manfaatnya amat besar dan membentuk pemikiran masyarakat.

Sengaja ditulis pada ruangan berkenan dengan kepentingan membaca. Mudah-mudahan masyarakat Malaysia membudayakan budaya iqra’ dalam kehidupan harian mereka.
Di sini,disertakan mutiara kata dan hikmah oleh cendekiawan dan tokoh berkenan dengan menuntut ilmu dan membaca.

Suatu ketika,ada seorang lelaki mengadu kepada Imam Ahmad bin Hambal tentang perasaannya yang sedih dan kesepian, lalu Imam Ahmad berkata kepada sahabatnya: “Ambil buku lalu baca!”

Pernah suatu ketika,para sahabat Abdullah bin Mubarak berkata kepadanya: “Kenapa kamu tidak mahu duduk dan berkumpul dengan kami?” lalu dia berkata kepada mereka: “Saya lebih senang duduk an berkumpul bersama Baginda dan para sahabat (iaitu lebih senang bersama buku-bukunya), kerana setiap kali berkumpul di dalam majlis, kamu selalu mengumpat dan membicarakan orang lain.

Abdullah bin al-Amri berkata:” Tidak ada sesuatu yang lebih bermanfaat dari buku.”
Al-Ma’mun berkata:”Tidak ada sesuatu yang lebih mengasyikan dari berjalan-jalan di alam fikiran orang-orang berilmu.”

Al-Jahiz berkata: “Buku adalah sebaik-baik kawan penghibur tatkala kesepian dan sebaik-baik kawan di kala menyendiri”.

Sesungguhnya berbual dengan kitab-kitab pada saat-saat yang panjang menanamkan air mata yang banyak berkilauan, terpancar daripadanya sungai-sungai hikmah terbelah, lalu keluar daripadanya air bayan,turun daripadanya khazanah-khazanah kecerdikan dan petikan-petikan genius.

Maka kitab-kitab adalah pintu gerbang agama dan nikmat pendidikan asal, bagi akal yang waras.

Kitab tidak mempunyai sifat mengumpat,riak, hasad dan takbur, kitab tidak mempunyai perasaan bosan, jemu, muak dan kebencian.

Kitab mengandungi hikmat yang terang benderang, pengajaran yang cemerlang, ungkapan yang fasih, metod yang betul, pandangan yang segar, khabar yang terpilih dan eksperimen yang hidup.

Dr. Aidh al-Qarni berkata: “Antara buku-buku yang akan cepat mati adalah buku-buku pemikiran yang hanya bersifat karangan belaka, di dalamnya tidak tercantum nas-nas agama,penukilan,analisa mahupun pendalaman suatu bidang”.

Dr. Aidh al-Qarni menyeru suoaya membaca dan merenungi riwayat hidup para sahabat,tabi’in,para ulama besar dan orang soleh.

Ini kerana hal sedemikian dapat menjadikan hati seseorang lembut dan tidak keras.
Francis Bacon berkata:”Sedikit ilmu malah memungkinkan dapat membuat anda menjadi orang yang aties,dan jika anda mahu memperdalam ilmu, maka anda akan beriman kepada Tuhan”.

Amat baik kita meneruskan aktiviti membaca kerana terlalu banyak faedah dan manfaatnya. Dinukilkan di sini, pendapat Dr. Aidh al-Qarni melalui bukunya Beginilah Zaman Memotivasikan Kita.

Antara lain, beliau berkata: “Aktiviti membaca dapat menambah ilmu,wawasan dan meluaskan lagi cakerawala pemikiran setiap orang yang mahu membaca, karya-karya orang lain dan ilmu pengetahuan mereka, maka sudah pasti pengetahuan dan wawasannya akan semakin bertambah luas dan akal fikiran dapat berkembang, terutama jika yang dibaca adalah hal-hal yang bermanfaat.

“Saya dapat merenungi pelbagai permasalahan dan pengalaman yang nampak, kerana tidak lain adalah dari membaca buku.

“Daripada aktiviti membaca,saya dapat mengemukan pelbagai hal yang menarik dan menakjubkan.

“Saya dapat mengetahui pelbagai pengalaman, kejadian dan musibah yang menimpa umat manusia.

“ Melalui aktiviti membaca, abad-abad yang lalu seolah-olah digulung di hadapan saya seperti lembaran-lembaran kertas, seolah-olah bangsa yang lalu dikumpulkan dihadapan saya.

“Wahai orang yang dapat bersabar untuk menyendiri, yang dibukakan baginya pintu pengetahuan dan wawasan yang bersabar hanya berteman buku, jangan kamu bersedih hati dan menyesal kerana telah kehilangan beberapa hal di luar sana.
“ Ini kerana sebenarnya kamu hanya kehilangan orang yang iri hati, cepat bosan atau orang yang pemarah.

“Sesiapa yang telah merasakan nikmatnya uzlah(menyendiri) bersama buku-buku yang bermanfat, maka ia tidak akan menginginkan pengganti yang lain, sekalipun ia berupa kerajaan Kisra dan Kaisar.

Oleh dr. zulkifli mohamad albakri,ahli majlis fatwa Negeri Sembilan

Penulis:
Al-faqi ila robbihi
Ahmad Muzakir Bin Ahmad Shukri al-nerangi

No comments:

Post a Comment